31 C
Jakarta

Paham Muktazilah dalam Tafsir Al-Zamakhsyari?

Artikel Trending

Asas-asas IslamTafsirPaham Muktazilah dalam Tafsir Al-Zamakhsyari?
Dengarkan artikel ini
image_pdfDownload PDF

Penulis belum mendapatkan atau mendengar hingga hari ini salah seorang daripaada ahli tafsir di alam Melayu yang mengambil bahan penulisan tafsirnya dari Tafsir Al-Zamakhsyari yang dikenali dengan Al-Kassyaf an Haqaiq Al-Tanzil wa Uyun Al-Aqawil fi Wujuh Al-Ta’wil (الكشاف عن حقائق التنزيل وعيون الأقاويل في وجوه التأويل) yang popular dengan nama panggilan Tafsir Al-Kassyaf. Kemungkinannya, ahli tafsir di alam Melayu mengetahui bahaya tafsir ini yang mengandungi paham Muktazilah.

Kemungkina lain, genre Tafsir Al-Kassyaf yang lebih cenderung kepada nilai estetika (keindahan) bahasa Al-Quran (balaghah). Namun jika dilihat oleh ahli tafsir Alam Melayu tidak sesuai dengan tabiat dan keperluan masyarakat Melayu. Mereka lebih suka tafsir yang mengubati penyakit-penyakit sosial dalam pendekatan tafsir tarbawi ijtima’i. Pada pandangan penulis, kemungkinan terakhir ini lebih kuat karena kebanyakan tafsir yang dihasilkan di Alam Melayu bergenre seperti ini dan Tafsir Al-Baydawi yang banyak berjasa dalam menjernihkan tafsir dari paham seperti ini sudah cukup bagi mereka sebagai bahan rujukan ketimbang Tafsir Al-Kassyaf.

Biografi al-Zamakhsyari

Al-Zamakhsyari, Mahmud bin Umar bin Muhammad merupakan ulama abad ke-6 hijriah yang meninggal pada tahun 538 H di Khorasam (خوارزم), Turkmenistan. Beliau dikenali dengan panggilan Jarullah (جار الله) karena pernah menetap beberapa tahun di Mekah. Beliau adalah alim tafsir yang mempunyai multi talenta keilmuan. Selain mufassir, beliau juga seorang sasterawan (adib), ahli bahasa dan ahli geografi.

Majoriti ulama yang pakar dalam bidang biografi (tarajum) melihat Al-Zamakhsyari sebagai orang soleh. Hanya saja ia cukup merisaukan ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan paham Muktazilah yang banyak ditemukan dalam tafsirnya. Sebagai contoh, Imam Al-Dsahabi dalam kitabnya Mizan Al-I’tidal (ميزان الإعتدال) berkata, “Al-Zamakhsyari adalah orang yang soleh. Hanya saja dia Muktazilah yang mengajarkan paham seperti ini dalam tafsirnya. Semoga Allah memelihara kita daripada paham seperti ini. Oleh itu, berhati-hatilah dari Tafsir Al-Kassyaf.” Seterusnya, Syeikh Taqiyuddin Al-Subki berhenti mengajarkan Tafsir Al-Kasyyaf kepada anaknya, Tajuddin Al-Subki. Selepas menyadari sifat kurang beretika yang ditunjukkan oleh Al-Zamakhsyari kepada Baginda Nabi SAW ketika mentafsirkan ayat-ayat yang secara halus menegur baginda Nabi SAW selepas melakukan kesilapan kecil berdasarkan ijtihad Baginda sendiri seperti firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 43: (عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَتَعۡلَمَ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٤٣) dan ayat-ayat yang sejenis.

BACA JUGA  Tafsir Ayat Perang: Melihat Konteks Qs. al-Taubah [9]: 29 dalam Tafsir Buya Hamka

Perlu diingat bahwa Al-Zamakhsyari sebagai orang Muktazilah mentafsirkan Al-Quran berdasarkan pandangan Muktazilah. Oleh itu, terdapat banyak takwil Al-Zamakhsyari yang terkesan dipaksakan mengikut kepada paham Muktazilah yang dikenal sebagai Al-Ushul Al-Khamsah (5 asas paham Muktazilah). Inilah yang kemudian mengajak ulama-ulama tafsir untuk menjernihkan tafsir Al-Quran daripada paham seperti ini. Terdapat beberapa kitab yang ditulis ulama sebagai reaksi terhadap paham Muktazilah yang dimasukkan Al-Zamakhsyari dalam tafsirnya. Sebagai contoh, kitab Al-Insaf min Al-Kassyaf (الإنصاف من الكشاف), karya Ibn Al-Munayyir Al-Iskadarani, Al-Tamyiz Lima Awdaahu Al-Zamakhsyari min Al-I’tizal fi Tafsir Al-Kitab Al-Aziz (التمييز لما أودعه الزمخشري من الإعتزال في تفسير الكتاب العزيز), karya Syeikh Al-Khalil Al-Sukuni. Ahli tafsir sekelas Fakhruddin Al-Razi, Abu Hayyan Al-Andalusi dan Abu Suud Al-Imadi turut menelanjangkan paham Muktazilah Al-Zamakhsyari dalam tafsir mereka.

Menyoal Paham Muktazilah dalam Tafsir Al-Zamakhsyari

Pada pandangan penulis, Tafsir Al-Zamakhsyari merupakan tafsir yang sangat bagus dijadikan sebagai bahan kajian atau rujukan dalam penulisan tafsir. Hanya saja perlu perhatian serius terhadap paham Muktazilah yang dimasukkan secara halus oleh Al-Zamakhsyari. Kelebihan tafsir Al-Zamakhsyari sangat banyak, antaranya keindahan bahasa Al-Quran dipaparkan dengan jelas dan kebanyakannya dalam bentuk tanya jawab. Melalui tafsir Al-Zamakhsyari, para peminat dan penggiat tafsir dapat mengetahui kelebihan pola binaan kalimat. Begitu pula dengan jumlah dan ayat Al-Quran dalam melahirkan suatu makna.

Kemukjizatan Al-Quran melalui keindahan bahasa Al-Quran betul-betul dapat dirasakan dan diyakini melalui Tafsir Al-Zamakhsyari yang dipersembahkan dengan sangat apik dan menarik. Oleh itu, Tafsir Al-Zamakhsyari hingga hari ini tetap menjadi rujukan utama dalam ilmu tafsir, khususnya kajian bahasa dan estetika Al-Quran. Penulis hanya risau melihat sebagian pelajar baik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan universitas-universitas serantau di Nusantara yang menjadikan Tafsir Al-Zamakhsyari sebagai rujukan dalam penulisan tesis dan disertasi mereka tanpa dasar bahasa Arab yang kuat dan pengetahuan tentang bahaya paham Muktazilah yang ada dalam Tafsir Al-Kasyyaf. Tafsir Al-Zamakhsyari boleh dirujuk oleh para pelajar di Alam Melayu Nusantara ini dalam tesis dan disertasi mereka dengan syarat peka terhadap isu-isu Muktazilah dan di bawah bimbingan seorang promotor (pembimbing) yang betul-betul menguasai Tafsir Al-Zamakhsyari dan dapat mengenal dengan mudah paham-paham Muktazilah dalam tafsir tersebut.

Dr. Muhammad Widus Sempo, Dosen Senior (Senior Lecturer) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Harakatuna
Harakatuna
Harakatuna.com merupakan media dakwah berbasis keislaman dan kebangsaan yang fokus pada penguatan pilar-pilar kebangsaan dan keislaman dengan ciri khas keindonesiaan. Transfer Donasi ke Rekening : BRI 033901002158309 a.n PT Harakatuna Bhakti Ummat

Mengenal Harakatuna

Artikel Terkait

Artikel Terbaru